Aku percaya, Allah yang Maha Pengasih inginkan manusia untuk mengingati hakikat ini dan menyempurnakan tujuan asal penciptaan mereka – yakni beriman dan menyembah kepada-Nya dengan ikhlas hati. Allah memastikan setiap yang mengaku dirinya Muslim belajar untuk kembali kepada-Nya secara total menerusi ibadah haji, rukun Islam yang kelima.
Dalam masa empat hari aku akan bertolak bersama Aini (isteriku) menuju ke Baitullah, atas undangan Yang Maha Esa. Aku hampir tidak percaya mendapat undangan ini sekali lagi, alhamdulillah. Kali pertama aku ke sana adalah pada tahun 2004. Waktu itu, aku pergi bersendirian sahaja. Kali ini, aku menemankan isteriku, langsung mengerjakan badal haji untuk almarhumah nindaku yang belum sempat dihajikan. Mak dan Abah merestui pemergian ku. Mak dan Abah Aini pula bersedia untuk melihat-lihatkan anak-anak sepeninggalan kami nanti.
Selama lima bulan aku, Aini dan 106 jemaah yang lain telah menjalani Kursus Haji bersama Ustadz Muhammad Abdul Shafi Nurul Anwar, sebagai guru pembimbing. Ustadz memang ingin menunaikan haji tahun ini bersama isteri dan anaknya. Dia membawa bersama titipan badal haji, korban dan aqiqah dari jemaah yang mengikuti kelasnya di masjid-masjid. Memandangkan ramai yang ingin mengikuti beliau, Ustadz memberi peluang kepada kami semua untuk menyertainya.
"Saya tak bawa orang pergi haji. Sayapun jemaah seperti bapak-bapak dan ibu-ibu," pesannya. "Kita sama-sama pergi kerana Allah."
+of+makkah+old.jpg)
Pergi kerana Allah. Bukan semata-mata hendak melihat Kaabah - kita bukannya pelancong. Bukan kerana kewajipan seorang yang mengaku Muslim - ibadah bukan paksaan . Bukan kerana inginkan syurga - balasan syurga biarlah Allah yang tentukan. Kita pergi kerana ikhlas untuk kembali kepada Sang Pencipta. Itulah pesanan Ustadz yang sentiasa diulangi setiap minggu kami berkursus. Kita diingatkan bahawa setiap makhluk yang Allah jadikan berputar pada arah yang satu . Sebesar cakerawala, sekecil zarrah, semuanya mengikut fitrah kejadian masing-masing. Apakah pula fitrah diri kita yang telah Allah jadikan? Dengan mengenali fitrah masing-masing pula, bagaimanakah dapat kita mencapai wawasan kehidupan beribadah kepada Allah? Itulah pencarian yang Ustadz inginkan setiap jemaah renungkan semasa perjalanan haji nanti.
Sudahkah aku bersedia untuk menemukannya? Hanya Engkau, ya Allah, yang Maha Mengetahui! Semoga aku tidak mempersia-siakan undangan-Mu ini. Bila Kau yang mengundang, tiada siapa yang dapat menghalang. Kau yang memilih hamba-hamba-Mu untuk penghormatan ini. Engkaulah juga yang memudahkan setiap langkah, mencukupkan rezeki dan menenangkan jiwa kami yang diundang.

Sejak beberapa minggu yang lalu, aku masih mendengar suara-suara kecewa yang meluahkan isi hati kerana tidak diberikan peluang yang serupa. Mereka menghadapi masalah visa. Tahun ini, kuota bagi jemaah Singapura tidak dapat ditambah melebihi 2180 yang telah diberikan oleh pihak Arab Saudi. Akibatnya, 820 jemaah telah digugurkan dari senarai. Keadaan serupa menjejas jemaah haji seluruh dunia. Alasannya kerana kekurangan tempat di Mina dan Arafah. Mereka tidak dapat menampung jemaah yang semakin ramai. Aku rasa mungkin juga kerana banyak hotel-hotel lama di sekeliling Masjidil Haram yang telah dirobohkan. Ini pasti akan memberi masalah penginapan bagi jemaah haji.
Isu menjadi hangat dengan surat-surat yang dilayangkan kepada suratkhabar mempersoalkan cara Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengendalikan sistem kuota mereka. Ini juga menjadi modal perbincangan di masjid-masjid, pasar dan kedai kopi.
Dalam pertikaian: Siapa yang sepatutnya didahulukan? Kenapa mereka yang sudah pergi diberikan kesempatan lagi? Pelbagai persoalan lain yang mereka timbulkan. Aku agak kesal mendengarkan ini. Mereka yang mengeluh seperti terlupa bahawa undangan yang diberikan, walaupun melalui kuota dan pilihan, pokoknya datang daripada Allah.
+of+kaba2.jpg)
Mungkinkah mereka terlupa bahawa tidak semestinya yang diundang itu akan dapat hadir. Dan tidak semestinya yang hadir itu akan diterima oleh Tuan Rumah. Mereka yang sempat ke sana pula, tidak semestinya mendapat layanan yang baik. Semuanya adalah ketentuan Allah yang Maha Berkuasa. Aku juga percaya, bahawa ada hikmah di sebalik kekecewaan bagi mereka yang tidak diundang tahun ini. Hanya masa sahaja yang akan membuka hijab hikmah ini.
Bagi diriku, aku menyambut undangan-Mu dengan penuh debaran. Setiap hari yang berlalu membawa seribu harapan agar undangan-Mu dapat aku dan isteriku hadiri.
Labbaikka, ya Allah.
Semoga Kau menjadikan hamba ini dan rombongan Ustadz Shafi tetamu teristimewa-Mu, ya Allah. Ameen.
